
KOTA BHARU, 14 Ogos (Bernama) — Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia ke kota Mekah dijadualkan berlepas pada 29 September, kata Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor. Beliau berkata sejumlah 27,000 jemaah Malaysia akan menunaikan haji seperti yang diluluskan pihak berkuasa Arab Saudi tahun ini. Mereka akan berlepas secara berperingkat dengan penerbangan terakhir dijadualkan pada 30 Okt.
“Penerbangan pertama jemaah kita dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) terus ke Mekah,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan sempena Ihya’ Ramadan peringkat Tabung Haji Jajahan Kota Baharu Ahad.
Abi Musa Asa’ari berkata jadual penerbangan jemaah haji disusun berdasarkan hari wukuf di tanah suci yang dijangka pada 5 Nov.
Ditanya mengenai kuota haji tahun ini, Abi Musa Asa’ari berkata seperti tahun sebelumnya, bilangan jemaah yang dibenarkan ialah 0.1 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk sesebuah negara.
Beliau berkata TH juga menetapkan setiap jemaah yang ingin menunaikan haji kali kedua atau seterusnya, dibenar berbuat demikian selepas lima tahun pemergian terdahulu. “Kini seramai 700,000 ada dalam senarai menunggu yang telah mendaftar untuk menunaikan fardu haji dari seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata bagi pemergian kali pertama, kadar bayaran bagi setiap jemaah ialah RM9,980 berbanding RM14,000 untuk kali kedua dan seterusnya.
Abi Musa Asa’ari berkata pihaknya mengeluarkan RM2.3 juta wang zakat perniagaan untuk diagihkan kepada Majlis Agama Islam seluruh negara, dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor menjadi penerima tertinggi. — BERNAMA
Aku punya turn, 2018. Kamu?
